Wednesday, October 17, 2007

Petola Ular


Petola Ular Trichosanthes cucumerina L
Famili: Cucurbitaceae
Nama lain: Snake guard

HERBA semusim dan memanjat dengan sulur paut sehingga 3-5 meter. Batangnya bersegi, liat sedikit dan berukuran 1-1.5 sentimeter (sm) diameter. Sulur paut bercabang dua atau tiga.

Daunnya mudah, berlobus 5-7 segmen dan petiol 2-10 sm panjang. Bunga jantan 10-30 sm panjang dan beberapa kuntum bunga berwarna putih. Bunga betina sesil, juga warna putih.

Buah silinder, seperti bentuk ular, bengkok atau berputar., berukuran 3-6 sm diameter, 30 - 180 sm panjang, berwarna hijau keputihan ketika muda dan bertukar merah apabila masak. Bijinya banyak, bujur dan berwarna perang.

Sayuran buah ini semakin popular dan mula dijual di pasar. Buahnya sering dimasak kari, ditumis, direbus manis. Pucuk muda juga dibuat sayur tetapi dianggap sebagai ubat cacing dan laksatif.

Sayuran ini mempunyai khasiat makanan sederhana terutama vitamin dan mineral. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) buah muda yang boleh dimakan mengandungi: protein 0.6 g, lemak 0.3, karbohidrat 4 g, serat 0.8 g, kalsium 26 miligram (mg), ferum 0.3 mg, fosforus 20 mg, vitamin B1 0.02 mg, vitamin B2 0.03 mg, niasin 0.3 mg, vitamin C 12 mg.

Herba ini mudah dibiakkan dengan semaian biji benih. Biji yang cukup masak disemai terus ke batas. Jarak tanaman kira-kira satu meter antara barisan dan 60 - 70 sm antara pokok. Pokok ini perlu diberi junjung atau para bagi membolehkan memanjat.

Selepas 5-6 minggu, pokok ini akan mula berbunga. Biasanya didahului oleh bunga jantan kemudian buang betina dan seterusnya berbuah. Pokok ini tidak memerlukan jagaan rapi tetapi memerlukan tanah subur dan mempunyai saliran baik.

Baja yang sebaiknya ialah baja kompos atau najis haiwan yang reput. Selain baja asli, sebatian kompleks 15:15:15 boleh digunakan. Buahnya sering diserang ulat buah dan sebaiknya dibalut dengan kertas.