Sunday, October 19, 2008

Membangunkan Industri Pertanian Organik

Aini Zakaria menjelaskan pertanian organik merupakan satu sistem pengeluaran pertanian yang tidak menggunakan baja dan racun perosak kimia. Saban hari, ramai pengusaha tidak kira pertanian, penternakan mahukan akuakultur yang mendakwa produk yang mereka keluarkan adalah produk organik. Bagi orang ramai, terutama pelanggan bagaimana mereka hendak mengesahkan sama ada produk itu benar-benar organik atau tidak?

Semua itu, berdasarkan kepada kepercayaan pelanggan terhadap dakwaan pengusaha yang mengeluarkan produk berkenaan. Kini terdapat pelbagai produk organik baru telah muncul dalam pasaran selain ternakan seperti herba, kosmetik, minyak sawit, minyak kelapa dara, baja, baju, sabun dan pencuci, kopi, coklat dan makanan telah diproses. Bagi produk pertanian terutama sayur-sayuran dan buah-buahan, memang terdapat akreditasi menerusi Sijil Organik Malaysia (SOM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian.

Tetapi bagaimana pula dengan produk pertanian lain seperti penternakan dan akuakultur yang belum mempunyai garis panduan mengenainya. Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Aini Zakaria menjelaskan pertanian organik merupakan satu sistem pengeluaran pertanian yang tidak menggunakan baja dan racun perosak kimia, organisma terubah suai secara genetik (GMO), mengurangkan pencemaran udara, tanah dan air.

Pertanian organik juga mengoptimumkan kesihatan dan pengeluaran komuniti tanaman, haiwan dan manusia. Produk yang dikatakan organik perlu persijilan untuk mengesahkan bahawa produk berkenaan sememangnya organik. Bagi mendapatkan persijilan sistem pengeluaran produk organik perlu melalui pemeriksaan mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh kerajaan atau agensi yang diiktiraf oleh International Federation of Organic Farming Movement (IFOAm). Dalam piawaian berkenaan pengeluar akan berpandukan kepada semua senarai bahan yang boleh digunakan dan tidak dibenarkan.

Prinsip yang diutamakan dalam pertanian organik adalah :
  • Prinsip kesihatan - pertanian organik perlu mengekalkan kesihatan tanah, tanaman, ternakan dan manusia.
  • Prinsip ekologi - pertanian organik perlu berasaskan sistem ekologi yang hidup dan kitarannya, bekerjasama dengan sistem berkenaan serta mengekalkannya.
  • Prinsip keadilan - pertanian organik perlu membina hubung kait yang menentukan keadilan kepada persekitaran dan peluang kehidupan.
  • Prinsip keprihatinan - pertanian organik perlu diuruskan secara beringat dan bertanggungjawab untuk mempertahankan kesihatan dan kebaikan generasi kini dan akan datang serta persekitaran.
Pertanian organik bermula pada 1986 daripada enam ekar kepada hampir 1,000 hektar pada tahun lalu. Jika dibandingkan dengan negara ASEAN yang lain yang bermula daripada tahun 1992/94 dan mereka menguasai kawasan yang lebih luas daripada Malaysia seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia. Kini dengan krisis makanan dan tenaga, maka pertanian organik perlu dikembangkan di negara ini memandangkan ia mengitar semua sisa yang ada.

Jika dahulu pertanian konvensional menggunakan tanah yang luas lebih 120 hektar (300 ekar) bagi seorang petani tetapi dengan pertanian organik petani akan diberikan saiz ladang lebih kecil yang lebih menguntungkan dan kurang menghasilkan pencemaran. Bagaimanapun kajian pertanian organik di negara ini kurang memberikan perhatian terhadap kepelbagaian biologi.

Misalnya menggunakan pelbagai jenis tumbuhan herba sebagai sumber nitrogen dan tempat perlindungan pemangsa atau tanaman yang menolak makhluk perosak.

Menyentuh mengenai ternakan organik, Aini berkata, sehingga kini tidak terdapat piawaian mengenainya.

Tetapi jika penternak menggunakan piawaian dari luar negara, mungkin ia masih boleh diterima pakai.

Misalnya bagi penternakan ternakan organik, piawaian IFOAm menetapkan semua haiwan tidak boleh dikurung tetapi dibebaskan dalam keluasan kawasan tertentu.

Misalnya seekor ayam memerlukan kawasan seluas 1m hingga 1.5m persegi tetapi memerlukan kawasan reban yang sesuai.

Ternakan juga tidak boleh diberikan antibiotik dan vitamin tambahan tetapi banyak pihak bertelagah mengenai pemberian vaksin.

Makanan ternakan juga perlu dikenal pasti bagi menentukan benar-benar organik dan bersih.

Ternakan organik yang sakit pula tidak diberikan ubatan konvensional tetapi dirawat menggunakan kaedah tradisional menggunakan herba atau di Australia menggunakan ubatan homeopati.

SOM hanya diberikan kepada petani yang mematuhi piawaian organik MS 1524 untuk menjual barangan mereka dalam pasaran.

SOM perlu dipertingkatkan lagi agar ia mencapai taraf antarabangsa dan panduan dan piawaian baru perlu diformulasikan untuk melindungi pengguna dan pengusaha daripada penipuan.

Justeru MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Persidangan Kebangsaan Pertanian Organik yang di Sheraton Subang and Towers, Subang Jaya pada 4 hingga 6 November ini.

Antara pembentang kertas kerja adalah agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pertanian organik.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai persidangan berkenaan boleh menghubungi talian 03-8943 7041/6077 atau e-mel: organic@mardi.gov.my

Wednesday, September 10, 2008

Raja segala penawar


Ia diberikan pelbagai gelaran termasuklah, 'minuman daripada segala minuman dan ubat daripada segala ubat'. Apakah rahsia di sebalik cairan kental yang diperoleh daripada lebah ini?

PERUBATAN herba dan alternatif kini menjadi kaedah rawatan dan penyembuhan yang semakin dapat diterima dalam dunia moden. Dengan pelbagai kajian saintifik tentang manfaat sesuatu herba atau sumber tradisional, ia menambahkan lagi keyakinan orang ramai tentang penggunaannya.

Madu lebah adalah antara sumber alternatif yang mempunyai seribu satu khasiat istimewa. Malah ia diberikan pelbagai gelaran termasuklah, 'minuman daripada segala minuman dan ubat daripada segala ubat'.

Hakikatnya, madu mempunyai sejarah yang panjang bersama evolusi kehidupan manusia. Sekiranya diimbas sejarah silam dan asal-usul madu lebah, ia telah dikenali sejak zaman Firaun yang memerintah Mesir 300 tahun Sebelum Masihi.

Kemasyhuran khasiat madu lebah turut tersebar luas sehinggalah ke zaman tamadun Parsi, Greek dan juga Rom.

Malah, sejarah Islam sendiri ada menceritakan kegunaan madu lebah dalam perubatan amatlah masyhur. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 68 hingga 69 surah an-Nahl bahawa madu itu adalah syifa (penawar) kepada manusia.

Rasulullah juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda bersabda: Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam dunia moden hari ini pelbagai kajian dan konvensyen terbaru diadakan untuk meneliti secara lebih mendalam mengenai khasiat di sebalik cairan kental manis yang dihasilkan lebah ini.

Menurut Dr. Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu lebah mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Ia juga mengandungi zat-zat seperti kalsium, zat besi, kuprum, magnesium, manganese, fosforus, potasium, sodium dan zink.

Madu turut mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3. Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang diperoleh lebah.

Madu berperanan sebagai antioksida dalam badan manusia yang mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit-penyakit kronik.

Kajian terkini membuktikan, kandungan madu lebah yang terdiri daripada bahan semula jadi pelbagai gula seperti glukos dan fruktos ini mampu meningkatkan stamina, jelas Dr. Susan lagi.

Dalam satu kajian lain, pakar mikrobiologi Amerika, Richard F. Stier mendapati, komposisi unik kandungan madu lebah juga boleh menjadi agen antimikrob untuk merawat kulit yang cedera akibat kebakaran atau luka. Ia juga mampu mengelakkan jangkitan berpunca daripada bakteria.

Fakta ilmiah ini turut diakui para ilmuwan yang bersidang pada Persidangan Apikultur Sedunia (World Apiculture Conference) pada 20 hingga 26 September 1993 di China.

Pada persidangan tersebut dibincangkan perubatan dengan menggunakan ramuan yang berasal daripada madu. Para ilmuwan Amerika mengatakan bahwa madu, jeli raja, serbuk sari dan propolis dapat mengubati pelbagai penyakit.

Sementara seorang doktor yang berasal dari Rumania mengatakan, beliau cuba menggunakan madu untuk mengubati pesakit katarak, hasilnya, 2,002 daripada 2,094 pesakitnya sembuh sama sekali.

Berikut adalah manfaat lain madu :
  • Membersih dan membuang segala kotoran yang ada dalam darah.
  • Boleh mengendurkan urat-urat yang tegang, tekanan dan kemurungan.
  • Boleh menghentikan kesakitan sendi.
  • Baik untuk sistem pernafasan.
  • Perut dapat menyerap madu dengan mudah dan segera tanpa diproses di dalamnya lebih dahulu.
  • Boleh membunuh kuman dan virus dalam darah.
  • Membaik-pulih dalaman wanita dan memelihara kesihatan kaum lelaki ataupun menambah keharmonian rumah tangga.
  • Berupaya menghilangkan gatal-gatal pada kulit serta merta dan menghilangkan parut luka dengan segera.
  • Menjana pertumbuhan otak.
  • Mencantik, menghalus, melembab dan mengawal keanjalan kulit.
  • Digunakan sebagai ubat sakit perut.
  • Menghilangkan kahak.
  • Memutih dan menguatkan gigi.

Monday, September 8, 2008

Pokok GandaSuli Ditakuti Makhluk Halus


Gandasuli
Nama Botani: Hedychium coronarium
Famili: Zingiberaceae
Nama Lain: White Ginger atau Butterfly Lily

Masyarakat desa zaman dulu gunakan ramuannya untuk menepung tawar, mandi bunga

POKOK gandasuli mungkin terlalu asing bagi generasi sekarang. Bagi masyarakat desa zaman dulu, gandasuli ditanam di sekitar rumah kerana baunya yang wangi. Bunga dan daunnya yang berbau wangi digunakan sebagai ramuan mandi bunga atau daun.

Gandasuli adalah satu daripada tujuh jenis pokok yang digunakan dalam upacara menepung tawar termasuk upacara menghalau gangguan makhluk halus.

Pokok gandasuli berasal dari India ini diperkenalkan oleh orang Hindu ke Jawa seterusnya ke Malaysia. Pokoknya adalah herba berumpun mempunyai rizom seakan-akan halia, berwarna kelabu asap. Dari rizom ini tumbuh batang semu setinggi antara 30 hingga 90 sentimeter (sm). Daunnya yang berbentuk oblong-lanseolat lebar, kira-kira 30 hingga 40 sm panjang, 8 hingga 10 sm lebar, tumbuh secara distik dengan petiolnya yang pendek di kiri kanan batang ini. Infloresennya spika terminal, berbentuk elipsoid kira-kira 10 sm panjang, dengan brakteanya berbentuk ovat, berwarna hijau dan tiap-tiap satu melindungi 2 hingga 3 kuntum bunga yang berwarna putih dan berbau sangat wangi apabila kembang.

Spesies lain ialah gandasuli kuning (Hedychium flavescens) yang mempunyai bunga bertompok kuning, bau lebih wangi dengan diriannya lebih tegap berbanding gandasuli.

Pembiakan gandasuli adalah dengan cara belahan rumpun berserta dengan rizomnya. Rizom yang cukup tua boleh disemai dan selepas bercambah dengan tunasnya yang cukup subur dipindahkan ke batas. Keratan rizom juga boleh ditanam terus ke batas.

Gandasuli mudah hidup, tetapi memerlukan tanah subur. Sebaiknya disediakan batas mengandungi baja organik atau kompos secukupnya. Permulaan hidupnya memerlukan sedikit pelindung cahaya matahari. Selepas berbunga herba ini akan pupus dan sulinya yang baru akan tumbuh seterusnya berbunga. Sebaiknya, selepas beberapa kali berbunga dan pupus, rizomnya hendaklah digali dan ditanam semula di batas yang lain.

Pokok gandasuli boleh juga ditanam di dalam pasu dengan tanah campuran tanah bakar lima bahagian, najis haiwan yang cukup reput tiga bahagian dan dua bahagian pasir sungai. Ketika berbunga lebat, bawa ia ke dalam rumah. Seluruh rumah akan semerbak wangi.

Herba ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi kecuali mengekalkan kesuburan tanah dengan memberi sukupan daun-daun reput. Adakalanya herba ini rebah dan harus diberi sokongan. Selepas berbunga batangnya perlu dibuang.

Pembajaan dengan baja sebatian kompleks seperti 12:12:17:2 + T.E. atau 15:15:15 hendaklah dilarut terlebih dulu di dalam air sebelum disiram ke pangkal rumpunnya.